MEI 2022

Bangunkan Sarawak Ikut Trend Dunia


KUCHING: Pucuk kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang berpandangan jauh akan membangunkan negeri ini dan rakyatnya mengikuti trend perkembangan ekonomi dunia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Yang di-Pertua Parti PBB berkata, untuk merealisasikan hasrat itu, rakyat harus bersatu padu dan menjaga kestabilan politik yang sedia terjalin.

“Setiap kemajuan yang dirancangkan harus mengikut perubahan dunia, jika tidak rakyat dan negeri ini akan ketinggalan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N6 Tupong  dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sini.

Abang Johari menegaskan, sokongan padu rakyat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Disember tahun lalu mencerminkan keyakinan rakyat terhadap pucuk kepimpinan GPS.

Menurutnya, perjuangan Parti PBB itu menjadi tunjang kekuatan GPS yang mengutamakan rakyat.

Oleh itu, katanya Parti PBB sentiasa melatih pemimpin muda sebagai persediaan untuk mengambilalih pucuk kepimpinan pada masa depan.

Atas sebab itu, katanya, Parti PBB merancang mewujudkan sayap khusus untuk belia berumur 18 hingga 28 tahun bagi melatih golongan itu menjadi pemimpin.

Sambil menegaskan Sarawak tidak akan berganjak daripada menuntut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau berkata, Sarawak akan terus menuntut supaya formula pengagihan perolehan pendapatan dapat dikongsikan bersama.

“Mengikut perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, pemberian geran kepada Sarawak oleh Kerajaan Persekutuan mesti ada formulanya. Manakala mengikut Perkara 24 laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Sarawak mesti ada wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengetahui perolehan pendapatan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB merangkap Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman. Fazzrudin juga Ketua Parti PBB Cawangan Tupong.

Sumber dari : Jiwa Bakti